4 June 2014

Home » » Siasat pegawai sebar laporan

Siasat pegawai sebar laporan

Cik Admin | Wednesday, June 04, 2014 | 0Comments |
Siasat pegawai sebar laporan
Coklat Cadbury jenis kacang hazel dan buah badam disahkan halal. 

Makmal tiada akreditasi tentukan status halal produk

Kuala Lumpur: Isu status halal coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond selesai apabila Kementerian Kesihatan mengakui kesilapan seorang pegawainya menyebarkan hasil ujian yang belum disahkan. 

Kementerian itu juga mengakui semua 15 makmalnya tiada akreditasi menentukan status halal produk makanan, sebaliknya terhad kepada kandungan bahan makanan seperti ikan dan daging, bebas daripada pencemaran kimia dan racun. 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata hasil ujian dua sampel coklat yang dikesan mempunyai DNA babi pada Februari lalu, disebarkan seorang pegawai kementerian dalam laman sosial sebelum ujian makmal kedua sempat dijalankan untuk pengesahan. 



Timbulkan kekeliruan 

“Kementerian sedang menyiasat pegawai yang membocorkan laporan itu kerana sikap terburu-burunya menimbulkan kekeliruan masyarakat. Laporan awal yang dibocorkan tidak tepat dan penyebarannya mengakibatkan kekecohan umat Islam di negara ini,” katanya. 

Pada sidang media selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Kesihatan Antarabangsa ke-22, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, semalam, Dr Hilmi berkata, siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengesan kemungkinan unsur sabotaj. 
“Kementerian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), iaitu jika sesuatu produk dikesan tercemar DNA babi, perlu rujuk kepada JAKIM. Mulai sekarang, keputusan berhubung status halal produk makanan ditentukan oleh JAKIM bagi mengelak kekeliruan,” katanya. 

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha yang menegaskan, ujian oleh Jabatan Kimia tidak menemui sebarang DNA babi dalam sampel produk diambil dari kilang pengeluar coklat itu di Shah Alam, sekali gus memberi jaminan dua produk itu halal untuk dimakan oleh umat Islam tanpa sebarang keraguan. 


Periksa ikut prosedur 

“Pihak kami memeriksa produk terbabit mengikut prosedur tanpa prejudis bagi memastikan umat Islam mendapat produk yang benar-benar halal. Walaupun berbeza dengan hasil ujian Kementerian Kesihatan, keputusan halal haram sesuatu produk di negara ini hanya ditentukan oleh JAKIM. 

“Apabila JAKIM menggantung pengesahan halal dua produk berkenaan, bukan bermakna kita mengesahkan ia haram, sebaliknya untuk ujian. JAKIM ambil sampel produk dari kilang, ambil bahan digunakan untuk menghasilkannya bagi memastikan halal atau sebaliknya. Kita tak ambil produk dari luar yang mungkin tercemar atau produk tiruan,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zain, meminta umat Islam tidak menyalahkan JAKIM dalam isu terbabit kerana jabatan itu sudah menjalankan tugasnya sebaik mungkin, sebaliknya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap agensi terbabit. 

“Umat Islam tidak sepatutnya mudah melatah, sebaliknya memperhalusi tindakan JAKIM sebelum membuat kesimpulan. Apa yang dilakukan JAKIM untuk menyelesaikan masalah ummah. Jika kita tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada JAKIM, bagaimanapun pula produk lain yang ada logo halal jabatan itu di pasaran,” katanya.

Sumber : Berita Harian


Syukran jiddan.Sila tekan like dan send jika suka entri ini ..^_^

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Design By Saidatul Qifayah | For ! MSH PRODUCTIONS 2013-2014 ©| Resolution: 1366 x 768px | Best View: Google Chrome