7 February 2013

Home » Allah Maha Pencipta

Allah Maha Pencipta

Cik Admin | Thursday, February 07, 2013 | 0Comments |
Photobucket
Sepersis perut saat berkeroncong, barulah empunya diri tersedar bahawasanya ia lapar, lalu 'signal' bunyi tadi dihantar ke otak untuk memahamkan keadaan tubuh untuk bertindak, kemudian kemahuan dinyatakan dengan jelas "saya mahu makan".

Demikianlah sedikit pelajaran yang boleh kita ambil dari penciptaan diri kita sendiri, yakni hati, perbuatan dan lisan ibarat '3 incredible function'. Ketiga-tiganya saling berkait dan saling bekerjasama. Banyak lagi perumpamaan yang boleh diolah, dan ianya bergantung kepada sejauh mana kesedaran, kefahaman dan kemahuan kita ke arah menghayati setiap ciptasa Allah.

DIA-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur." (Surah al-Mulk : Ayat 23)

Adapun pelajaran ringkas di atas membawa kaitan kepada satu pelajaran yang berkesinambungan lebih jauh. Jauhnya penting untuk hati-hati yang ingin berubah dan mengubah.

Dimulakan penghijrahan Rasulullah dan para sahabat suatu ketika dahulu dari Mekah ke Madinah ditunjangi atas kesedaran akan fungsi hijrah itu sendiri, dimaknai dengan kefahaman yang mendalam, dan dijayakan dengan kemahuan yang kuat untuk merealisasikan hijrah bersejarah itu. Hasilnya, terpasaklah satu 'peribadi dunia islam' yang unggul di laman sfera ini.

Dalam proses dakwah dan tarbiyah Rasulullah SAW dan para sahabat ketikanya, bersaksikan masa yang dipilin bukanlah singkat, akal budi merentas cela cerca keadaan yang penuh kegawatan, lalu tibalah cahaya wahyu (Al-Quran) dari Loh Mahfuz diturunkan kepada 'pembawa kebenaran' (Rasulullah) menjadi momentum kekuatan dan pengemudi tetap dalam mengharungi perubahan jahiliyah diri dan bangsa, membenam peribadi tercela untuk membina tamadun berjiwa baru dengan sinar Islam dan Iman.

Lantas, kesedaran mula membasahi hati melalui acuan Al-Quran dan Sunnah agar tetap basah membasahi hati-hati yang kering. Kefahaman dibina dengan hakikat iman, ilmu dan amal yang sejati untuk melentur minda hati yang ketandusan. Kemahuan pula dibangkitkan melalui pembentukan matlamat yang jernih serta azam dan pengorbanan hakiki untuk menyampaikan risalah kebenaran dan janji Tuhan kepada jiwa-jiwa yang mendahagakan.

Kesimpulannya, terhasillah peradaban figur yang unggul. Fiziknya tetap sama, tetapi peribadinya baharu. Antara barisan peribadi bertamadun tinggi itu adalah Umar Al-Faruk, Hamzah Asadullah, Khalid As-Saifullah dan ramai lagi. Inilah figur-figur yang mengungguli catatan silam usia zaman.

Lantaran itu, dalam episod zaman kita kini, hilang sudah kata mustahil untuk mendaki puncak 'pasak bumi' Everest, ia sudah pun ditawan. Maka, apakah kata mustahil untuk membina peribadi baru insani boleh di'delete'?

Bukankah sudah ada contoh yang diyakini? Sudah! berhenti mereka alasan. Palingkan jauh wahaniah dari hati. Mulakan dengan diri sendiri. Tarbiyah insan lain seiring dengan tarbiyah diri sendiri.

Jika hendak melihat umat generasi tidak ditukar ganti, maka aturlah gerak langkah dan teruskanlah. Kesedaran, kefahaman dan kemahuan yang kuat bertautkan teman sepanjang zaman yakni cahaya Al-Quran dan risalah Sunnah Nabi tidak akan 'mencair' dalam membekukan kejahiliyahan diri dan ummat.

InsyaAllah, semuanya dengan izin Allah Azza Wa Jalla. Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. Allah berfirman yang bermaksud :-

"Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad : Ayat 5-7)

Dan firmanNya lagi;

"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka" (Surah Muhammad : Ayat 17)

Semoga kita sentiasa istiqamah berada di jalan dakwah dengan mereka yang membantu menegakkan agama Allah. InsyaAllah, di mana ada kemahuan ke arah kebaikan, maka selagi itu ada harapan untuk kita mendapatkannya. Yang pasti, letaklah Allah di sepanjang kehidupan kita, pasti pertolonganNya sentiasa menghiringi perjanan usia kita.



Syukran jiddan.Sila tekan like dan send jika suka entri ini ..^_^

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Design By Saidatul Qifayah | For ! MSH PRODUCTIONS 2013-2014 ©| Resolution: 1366 x 768px | Best View: Google Chrome